- 9 views
13 November 2024, Putrajaya - Kementerian Ekonomi telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Integriti dan Bulan Keluarga Kebangsaan Kementerian Ekonomi Bersama Agensi Tahun 2024 pada 13 November 2024 (Rabu) di Menara Prisma, Putrajaya.
Majlis dimulakan dengan ceramah bertajuk “Integriti: Dari Hati, Bukan Hanya Di Mulut” yang disampaikan oleh penceramah jemputan Encik Mohd Haris Bin Mohd Ismail (PU Riz). Seterusnya, diadakan kuiz Kahoot berkenaan integriti secara bersemuka, diikuti dengan penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz tersebut.
Acara diteruskan dengan ucapan perasmian oleh YBhg. Dato' Luqman bin Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Ekonomi yang turut melancarkan Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat dan Polisi Antirasuah Kementerian Ekonomi. Dalam ucapan tersebut, beliau juga mengumumkan pelaksanaan “Hari Tanpa Gula” pada setiap hari Rabu yang mula berkuat kuasa pada 13 November 2024 di Kementerian Ekonomi.
Majlis diteruskan dengan Penyampaian Sijil Pengiktirafan Pekerja Berintegriti serta penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan sajak, poster dan video. Diikuti dengan deklamasi sajak oleh pemenang pertandingan tersebut. Acara berakhir dengan sesi bergambar beramai-ramai bagi merakamkan kenangan manis sepanjang majlis.
Turut hadir dalam majlis ini ialah pegawai-pegawai Kementerian Ekonomi serta pegawai-pegawai dari agensi di bawah Kementerian Ekonomi. Kementerian Ekonomi komited memelihara tatakelola, menyokong reformasi perkhidmatan awam dengan dedikasi, demi memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan kejayaan pembangunan negara.