- 2 views
10 Januari 2025, Putrajaya - Kementerian Ekonomi telah mengadakan Majlis Sekalung Budi, Sejambak Kasih pada sempena persaraan YBhg. Datuk Dr. Yatimah Sarjiman, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) yang bersara wajib pada 16 Januari 2025. Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi.
Sepanjang 34 tahun tempoh perkhidmatan, YBhg. Datuk Dr. Yatimah telah memberikan sumbangan besar dalam memacu kemajuan negara. Majlis ini diadakan untuk mengiktiraf komitmen yang luar biasa dan menghargai sumbangan beliau dalam melaksanakan tanggungjawab kepada perkhidmatan awam.
Sepanjang kerjaya, YBhg. Datuk Dr. Yatimah telah menunjukkan kepimpinan yang cemerlang dalam memperkasakan sosioekonomi dan perangkaan negara.
Sumbangan dan kebijaksanaan beliau tidak hanya memberi impak besar kepada negara, tetapi turut menjadi inspirasi kepada seluruh warga kerja Kementerian Ekonomi dan agensi di bawahnya. Keupayaan beliau untuk memajukan organisasi dan sektor awam melalui inovasi dan pengurusan strategik dalam memimpin warga kerja kementerian telah memberi suntikan motivasi kepada semua.
Selain itu juga, wanita hebat ini turut bergiat aktif di dalam Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Kebangsaan dengan jawatan terakhir sebagai Naib Yang Dipertua 1 dan Timbalan Pengerusi di PUSPANITA Kementerian Ekonomi.
Warga Kementerian Ekonomi amat menghargai segala usaha, dedikasi, dan langkah yang telah diambil oleh YBhg. Datuk Dr. Yatimah dalam mencapai kecemerlangan sepanjang perkhidmatan beliau. Semoga persaraan ini menjadi permulaan baharu yang penuh makna dalam kehidupan beliau, dan segala pencapaian serta sumbangan beliau akan sentiasa dihargai dan dikenang. Terima kasih atas segala keikhlasan dan khidmat yang telah diberikan kepada negara. Lambaian bakti yang kekal abadi.
Kenangan budi takkan hilang,
Bagaikan bunga mekar di taman,
Setiap jasa tersemat dalam,
Menghargai budi selamanya dikenang.
#KementerianEkonomi
#MalaysiaMADANI
#taatsetia
#MADANIBekerja