- 331 views
Putrajaya, 2 April 2024 - YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi telah menghadiri Mesyuarat Majlis Tenaga Negara Bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pada 2 April 2024 bertempat di Bilik Mesyuarat Perdana, Putrajaya.
Selaras dengan konsep Ekonomi MADANI, pengurusan peralihan tenaga yang berkesan memerlukan pendekatan keseluruhan negara bagi memastikan kesepaduan perancangan dan pelaksanaan dasar dalam menangani trilema tenaga iaitu jaminan bekalan tenaga, akses kepada bekalan tenaga, dan kelestarian alam sekitar.
Perkara ini dizahirkan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) yang pertama kali diadakan pada sejak diluluskan penubuhannya.
Majlis ini dianggotai oleh beberapa anggota Jemaah Menteri dan wakil kementerian berkaitan sektor tenaga dan merupakan majlis tertinggi yang akan menetapkan hala tuju sektor tenaga negara.
Dalam hubungan ini, Majlis Tenaga Negara (MTN) turut bertanggungjawab memastikan perancangan sektor tenaga secara menyeluruh di samping turut memantau pelaksanaan inisiatif yang telah dirancang ke arah peralihan tenaga bagi mencapai aspirasi karbon sifar bersih (net zero carbon) menjelang 2050.