Kuching, 19 Jun 2025 – Kementerian Ekonomi telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Pegawai Kanan AZEC ke-3 (SOM3) semalam bertempat di Hotel Sheraton, Kuching, menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang tenaga di bawah kerangka Asia Zero Emission Community (AZEC).

Mesyuarat ini menghimpunkan Negara-Negara Anggota ASEAN (kecuali Myanmar), Jepun dan Australia, bersama rakan strategik iaitu Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA), ASEAN Centre for Energy (ACE) dan International Energy Agency (IEA) bagi memperkukuh kerjasama dalam program serta projek peralihan tenaga dan agenda penyahkarbonan.

Mesyuarat ini dipengerusikan bersama oleh YBhg. Dato' Luqman bin Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral), Kementerian Ekonomi dan Mr. Shinichi Kihara, Director General for International Policy on Carbon Neutrality, Ministry of Economy, Trade and Industry (METI) yang turut meneliti inisiatif semasa AZEC serta membincangkan cadangan dan pengisian bagi pelaksanaan Mesyuarat Menteri AZEC pada bulan Oktober akan datang.

AZEC SOM3 mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh keselamatan tenaga serantau, menggalakkan inovasi teknologi, serta mempercepatkan penyelesaian tenaga mampan. Perbincangan ini membuka jalan ke arah kerjasama yang lebih erat, penyelarasan dasar yang lebih baik, dan strategi praktikal demi mencapai visi ASEAN dan serantau ke arah masa depan tenaga yang lebih bersih dan berdaya tahan.

#KementerianEkonomi #AZEC #MalaysiaMADANI #MADANIBekerja #taatsetia