YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi telah menyempurnakan Peluncuran Persidangan Permulaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas dan Portal Rancangan Malaysia Ketiga Belas pada 5 September 2024 di Dewan Mentari 1, Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang.

Persidangan Permulaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) merupakan satu platform yang menghimpunkan pakar-pakar dan pihak berkepentingan untuk berkongsi pandangan, isu, cabaran dan merangsang idea-idea yang dapat mengemudi arah dan hala tuju pembangunan dalam tempoh RMK13.

Platform ini juga memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman para penceramah tempatan dan antarabangsa dalam menyumbang kepada penggubalan rancangan pembangunan sosioekonomi negara untuk tempoh lima (5) tahun yang akan datang.

RMK13 akan menjadi dokumen strategik yang ringkas namun komprehensif, direka untuk mudah difahami oleh semua rakyat Malaysia.

RMK13 akan menumpukan keutamaan cabaran ekonomi dan melaksanakan reformasi yang lebih radikal secara tersusun, membolehkan kerajaan tetap adaptif dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Dengan semangat kerjasama dan visi yang sama, Malaysia berada di ambang mencapai kemajuan ekonomi yang lebih besar melalui RMK13.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari portal rasmi RMK13 yang baru sahaja dilancarkan di pautan https://rmk13.ekonomi.gov.my