- 1172 views
Kota Bharu, 21 Mac 2021 - Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan Program Malaysia Prihatin bertempat di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, Kelantan. Program ini merupakan inisiatif yang diambil Kerajaan bagi memberi penerangan di seluruh negeri ini secara berperingkat untuk memaklumkan rakyat mengenai pentingnya pengurusan Pandemik Covid-19 dalam proses pemulihan ekonomi negara.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YAB Dato' Bentara Kanan, Ustaz Dato' Haji Ahmad bin Yaakob, Menteri Besar dengan kehadiran seramai 200 penjawat awam Kerajaan Persekutuan dan Negeri Kelantan.
Sesi penerangan dimulakan dengan pembentangan oleh YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang menyentuh tentang Proklamasi Darurat yang sedang berkuat kuasa dalam memerangi penularan Pandemik COVID-19.
Seterusnya, YB Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) membentangkan tentang situasi ekonomi semasa serta langkah-langkah pemulihan ekonomi negara yang diambil Kerajaan bagi memastikan aspek kesihatan dan kelangsungan hidup dapat diseimbangkan.
“Pelaksanaan Darurat membolehkan Kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha mengawal penularan COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara” kata YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed.
Beliau menekankan hubungan yang baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan pada masa sekarang dapat memastikan jentera pentadbiran dan agenda pembangunan berjalan dengan lancar demi kesejahteraan rakyat khususnya di Negeri Kelantan.