YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi telah menghadiri Program OGSE100 CEOs Forum 2024 pada 16 Mei 2024 bertempat di Bursa Malaysia, Kuala Lumpur.

Program anjuran Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), agensi di bawah Kementerian Ekonomi, dengan sokongan Bursa Malaysia telah dihadiri oleh Ketua-ketua Pegawai Eksekutif dari senarai 100 syarikat teratas dalam sektor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak & Gas (Oil & Gas Services and Equipment – OGSE) yang berdaftar di Malaysia berdasarkan hasil, seperti yang dikenalpasti melalui terbitan tahunan MPRC, OGSE100, yang menyediakan maklumat prestasi kewangan dan landskap perniagaan industri OGSE tempatan.

Program OGSE100 CEOs Forum ini merupakan sebuah platform bagi Kementerian Ekonomi dan MPRC untuk melibat urus pemimpin industri OGSE serta menunjukkan kesungguhan usaha Kerajaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap – NETR) dalam memacu pelaburan domestik serta menarik pelaburan asing melalui kerjasama dengan syarikat antarabangsa, termasuk perlaburan bursa saham.

YB Rafizi Ramli turut menjadi ahli panel dalam sesi panel “Crystallising Opportunities from the Energy Transition” untuk membincangkan impak dan perancangan Kerajaan dalam menghadapi cabaran peralihan tenaga serta peluang yang boleh dimanfaatkan oleh industri OGSE tempatan dalam peralihan tersebut.