- 80 views
Pada hari Jumaat, 28 Jun 2024, Kementerian Ekonomi bersama rakan strategik Universiti Malaya telah mengadakan sesi libat urus (FGD) mengenai kajian jangka pendek pengamalan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) di Wyndham Grand Bangsar, Kuala Lumpur. Acara ini telah disempurnakan oleh YB Dato' Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Ekonomi dan turut dihadiri oleh tokoh-tokoh korporat dari pelbagai industri.
Perundingan ini mendalami isu-isu dan cadangan berkaitan ESG di kalangan syarikat, keperluan insentif, penetapan sasaran dalam penerimaan gunaan ESG dan penyelarasan ESG. Perbincangan ini bertujuan untuk membantu dalam penyediaan draf rangka kerja dasar ESG kebangsaan serta cadangan hala tuju pelaksanaan ESG dalam kalangan pihak berkepentingan.
Rangka kerja dasar ESG adalah kunci untuk menyelaraskan proses dan elemen utama yang diperlukan untuk pembangunan ekosistem ESG yang mampan, agar Malaysia dapat mengatasi jurang dan menyumbang kepada kemajuan pembangunan mampan. Ia berfungsi sebagai panduan utama dalam menyokong langkah Malaysia ke arah pembinaan ekosistem ESG yang mantap.