- 355 views
2 Januari 2024,Putrajaya - Sekitar Majlis Peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU), majlis bermula dengan ucapan pembukaan dari YBhg. Dato’ Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi.
Pembentangan mengenai Pangkalan Data Utama (PADU) dibentangkan oleh YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Majlis diteruskan dengan sesi forum yang bertajuk “Memacu Peralihan Melalui PADU”. Ahli panel yang terlibat adalah Dr. Fazidah Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah (ICT) Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wabah FASc, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia dan Prof. Datuk Dr. Norma Mansor, Director Social Wellbeing Research Centre, Universiti Malaya.
Kemudian, ucapan aluan oleh YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi dan ucapan peluncuran PADU oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Seusai gimik dan montaj peluncuran PADU, YAB Perdana Menteri menjadi individu pertama yang mendaftar dalam sistem PADU. Hadir sama, YBhg. Datuk Dr. Zunika Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Dr. Yatimah Sarjiman, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato' Luqman bin Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Ekonomi.
Pendaftaran PADU kini dibuka kepada rakyat Malaysia bermula 2 Januari 2024 sehingga 31 Mac 2024 bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.
Semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU melalui laman sesawang https://padu.gov.my/auth/daftar Untuk maklumat lanjut berkaitan PADU, boleh ke portal rasmi PADU di https://padu.gov.my/