- 5 views
6 Mei 2025, Putrajaya - YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, telah menerima kunjungan hormat TYT Kishida Fumio, mantan Perdana Menteri Jepun yang kini berperanan sebagai Utusan Khas Kerajaan Jepun bagi inisiatif Asia Zero Emission Community (AZEC).
YB Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi, turut hadir dalam pertemuan ini yang memperkukuh komitmen Malaysia terhadap kerjasama strategik serantau dalam peralihan tenaga dan pembangunan ekonomi rendah karbon.
TYT Kishida menyampaikan surat rasmi Kerajaan Jepun berhubung inisiatif AZEC, dan menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif Malaysia dalam menyokong usaha pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk:
- Sokongan Jepun dalam bentuk pembiayaan dan kepakaran teknikal, khususnya melalui AZEC;
- Penekanan terhadap projek ASEAN Power Grid merentasi Malaysia, Vietnam, Singapura, Indonesia, Sabah dan Sarawak;
- Potensi teknologi Jepun seperti ammonia, hidrogen dan CCUS untuk melonjakkan Malaysia sebagai hab tenaga bersih serantau;
- Isu perdagangan global, termasuk kesan tindakan unilateral AS berkaitan tarif import.
Kehadiran YB Menteri Ekonomi menzahirkan peranan penting kementerian dalam memastikan dasar ekonomi negara terus diselaraskan dengan agenda tenaga mampan dan kerjasama strategik antarabangsa.
#KementerianEkonomi
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
#taatsetia