Gelang Patah, 11 Januari 2024 - YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi, telah menyertai lawatan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Patah, Johor, bersama beberapa menteri lain mengiringi YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Kawasan pelabuhan tersebut dahulunya adalah sebuah perkampungan nelayan dan kini menjadi hub pemindahan kontena paling sibuk di Malaysia.

Dalam tempoh lebih 20 tahun, PTP telah mencatat kejayaan luar biasa di persada antarabangsa sehingga menjadi antara tiga pelabuhan utama di Asia Tenggara dan menduduki tempat ke-15 dalam senarai pelabuhan utama dunia. Pelaburan dalam PTP telah menghasilkan limpahan rantaian ekonomi seperti peluang pekerjaan dengan pendapatan tinggi yang boleh memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Johor, bahkan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Pelaburan sebanyak RM8.7 bilion telah dibelanjakan untuk pembangunan terminal PTP yang turut menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung tempatan berjumlah RM4.4 bilion dengan menjana lebih 20,000 peluang pekerjaan.